MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memilih rekaan baharu menampilkan corak belang Harimau yang 'lebih garang' untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024. Perkara itu diumumkan oleh Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan rasmi pada Selasa. Katanya, perubahan tersebut dilakukan susulan maklum balas bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini yang dilihat tidak menyerlah. Justeru Norza memaklumkan corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah hadapan dan belakang jaket. "Logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kecewa tengok pakaian kontinjen Malaysia, memalukan atlet... Menteri kata KBS tak campur tangan ARTIKEL BERKAITAN: Imbas pakaian kontinjen Malaysia pada 4 edisi Olimpik lalu, anda rasa mana satu paling ‘mengancam’? "Rekaan corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005. "Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti," katanya. Sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua Temasya Pelbagai Sukan antarabangsa, Norza berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara. Pakaian kontinjen Malaysia edisi sebelum ini menerima reaksi negatif selepas diperkenalkan pada 21 Jun. Tambahnya, untuk kemeja T berkolar berwarna emas, MOM mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara. "Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T. "Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses kelulusan di antara mereka dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu," katanya. Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube