suria

Selepas 6 tahun, tuntutan harta RM2 bilion milik Jamaludin Jarjis selesai secara baik

Allahyarham Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

SELEPAS enam tahun, kes tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion yang dikemukakan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya, berakhir pada Rabu.

Kesemua pihak yang terlibat akhirnya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan berkenaan secara baik, dalam prosiding secara tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Peguam syarie yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, iaitu Nur Hidayah A Bakar, mengesahkan bahawa tuntutan itu diselesaikan secara baik dengan persetujuan bersama di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

"Alhamdulillah... hari ini sudah selesai. Bagaimanapun terma, jumlah atau apa sahaja berkaitan harta itu tidak boleh didedahkan," katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuntut harta pusaka, ibu Jamaluddin Jarjis saman dua cucu

Nur Hidayah berkata, pihak-pihak yang berkenaan mengadakan perbincangan sekitar tiga jam pada pagi Rabu sebelum mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes tersebut, yang kemudian direkodkan mahkamah.

Kalsom, 68, selaku plaintif, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Untuk rekod, Jamaluddin yang juga bekas Ahli Parlimen Rompin, terkorban selepas helikopter yang dinaiki bersama lima individu lain terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4 April 2015.

Lima individu lain turut terkorban iaitu juruterbang helikopter, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran; dan seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain