“SUAMI saya mana? Rasa tak sedap hati, sebab tu tergerak hati nak call.” Itu adalah ayat pertama yang diungkapkan seorang wanita sebelum mengetahui khabar duka tentang suaminya yang terlibat dengan kemalangan berhampiran Kolej Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor pada Selasa. Perbualan itu dikongsikan pelawak, Nizam Jentik Jentik di Facebook bagi mengimbas detik-detik dia menjawab panggilan yang dibuat wanita berkenaan ke telefon bimbit milik suaminya, Muhammad Firdaus Abd Rahman yang terbaring kaku di atas jalan. Ujar Nizam atau Mohd Nornizam Mohd Yusof, dia berasa hiba setelah menjadi saksi kematian penunggang motosikal akibat kemalangan dengan sebuah treler. "Sebak betul hari ini (Selasa). Saya jadi antara terawal yang nampak dan berada di lokasi kemalangan maut. Saya turun payungkan mangsa sebab keadaan panas terik masa tu. "Ada beberapa rider pun bantu kawal lalu lintas. Kami cuba jaga segala barang penting mangsa, telefon dan beg duit supaya dalam jagaan rapi. "Kami tak dapat hubungi waris sebab tiada nombor kecemasan tertera di telefon. Apabila hubungi 999 (talian kecemasan), operator tanya mangsa masih hidup atau tak," ujarnya. Kata Nizam, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia selepas diperiksa oleh beberapa orang awam yang turut berada di lokasi bersamanya. Tangkap layar dashcam ketika kejadian berlaku pada Selasa. Bercerita lanjut mengenai perbualan telefon dengan isteri mangsa, Nizam berkata dia pada mulanya berasa berat hati untuk menjawab panggilan daripada wanita dikenali sebagai Siti Masliza Yaakob itu. "Tiba-tiba telefon mangsa berdering dan tertera 'My Lovely Wife'. Allahuakbar... masing-masing tak berani angkat, tapi saya gagahkan juga angkat. Saya jawab... Assalamualaikum puan. Dia membalas... eh suami saya mana? Saya rasa tak sedap hati tu yang tegerak hati nak call. "Satu ungkapan yang saya rasa cukup berat dan sebak nak khabarkan waktu tu. Puan, suami ada dekat dengan saya ni, dia terlibat dalam kemalangan. Dia tanya semula... suami saya macam mana? Saya hampir menangis nak jawab... suami puan dah tak ada. "Dengar puan tadi meraung menangis... Allahuakbar, Ya Allah. Saya terkedu dan menitik juga air mata. Saya mesej (beritahu) keadaan suaminya untuk kepastian dia," ujar Nizam lagi. Tambah Nizam, lebih menghibakan apabila dia melihat gambar dua anak kecil pada profil aplikasi mesej wanita berkenaan. Difahamkan kemalangan berlaku selepas Firdaus menghantar anaknya ke sekolah. Berdasarkan rakaman video daripada kamera papan pemuka (dashcam) seorang pemandu di lokasi kemalangan, mangsa dilihat merempuh bahagian belakang sebuah lori yang membelok ke kiri. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube