suria

Cikgu disiplin tarik rambut, tampar murid berkali-kali... Marah pelajar tinggal botol air dalam bilik multimedia

Mencederakan pelajar dengan sengaja merupakan satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG guru disiplin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menampar muka beberapa kali dan menarik rambut pelajarnya dalam kejadian dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Noor Alif Fitri Anuar, 19, apabila mangsa meminta kunci bilik multimedia untuk mengambil botol air yang tertinggal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bukit Baru, Melaka, pada 9 Disember 2022, pukul 11.30 pagi.

Heirman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan dokumen.

Peguam Nor Azmi Mohd Arif bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai guru serta menanggung dua anak yang masih belajar serta ibu terlantar sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 beserta seorang penjamin selain syarat tidak boleh mengganggu mangsa hingga perbicaraan selesai.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain