TIGA individu termasuk seorang bapa bersama anak lelaki serta rakan kepada anaknya itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan merogol anak tiri di sebuah rumah di Bachok. Tertuduh yang masing-masing berusia 46 tahun dan 22 tahun didakwa secara berasingan dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Bagi tertuduh pertama berusia 46 tahun, dia didakwa merogol anak tiri berusia 12 tahun tanpa kerelaannya yang mana hubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan mempunyai hubungan amanah dengan mangsa. Kesalahan itu dilakukan pada awal dan pertengahan tahun ini iaitu antara 18 Mei hingga 22 Mei. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan membabitkan tertuduh kedua dan ketiga, mereka didakwa merogol seorang kanak-kanak bawah umur tanpa kerelaannya di mana perbuatan itu dibuat di hadapan orang lain. Kejadian itu dilakukan di lokasi yang sama membabitkan mangsa yang sama pada awal tahun ini. Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh pertama serta kedua diwakili peguam, Nur Sarah Syamimi Safie. Sementara itu tertuduh ketiga diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri. Mahkamah memutuskan tertuduh pertama dan kedua yang juga dua beranak tidak ditawarkan jaminan, manakala tertuduh ketiga dibenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Susulan itu, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube