suria

Tak puas hati anak dilayang kad merah, bapa berlagak samseng bawa batang besi masuk padang

Tangkap layar menunjukkan cubaan seorang lelaki memasuki padang.

KECOH di media sosial apabila bapa kepada seorang pelajar berlagak samseng dan cuba mencetus provokasi selepas anaknya dilayangkan kad merah ketika bermain bola.

Kejadian itu dipercayai berlaku dalam satu kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menerusi rakaman yang tular, lelaki berkenaan dilihat cuba memasuki padang sambil membawa satu objek panjang dipercayai sebatang besi.

Tindakan bapa itu bagaimanapun dihalang pegawai MSSM sebelum seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertindak pantas merampas objek yang dibawa.

Selain itu, anggota Rela juga cuba menenangkan lelaki berkenaan sebelum dia bersama anaknya berlalu pergi meninggalkan venue perlawanan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, kejohanan bola sepak itu adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jadual perlawanan membabitkan beberapa venue di seluruh negara.

Kata Roslan, pengadil perlawanan dilantik pihak MSSM dan bukan dalam kalangan guru di negeri ini.

"Pihak sekolah yang menjadi venue perlawanan sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk aspek kawalan keselamatan terutama dalam menghadapi kerenah penyokong di luar padang.

"Semua prosedur kawalan keselamatan juga dipatuhi bagi menangani situasi yang berlaku seperti video yang tular," katanya.

Bagaimanapun, ujar Roslan, kejadian berkenaan sudah diselesaikan secara baik dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain