suria

Bapa 2 anak ditemukan maut di Lebuhraya Elite, punca kematian kekal misteri... Waris cari bukti rakaman dashcam, mohon saksi tampil

Allahyarham Syarifudin meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata.

AHLI keluarga kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Elite pada 3 Julai lalu merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian di laluan Bandar Serenia - Nilai Utara (E6 KM 37.8 SB) kira-kira pukul 9 malam, mangsa, iaitu Syarifudin Abu Bakar, 31, meninggal dunia di tempat kejadian ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Ramal, Kajang, Selangor.

Menurut kakak Allahyarham, Suliana Abu Bakar, 37, saksi pertama menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun punca sebenar kemalangan itu masih lagi kekal misteri sehingga ke hari ini.

"Kami (waris) dihubungi oleh orang awam, mengatakan dia ambil nombor telefon kami daripada telefon yang dipegang arwah. Ketika itu, arwah tidak sedarkan diri. Selepas ambulans tiba, arwah disahkan meninggal di tempat kejadian.

2

Kayu yang ditemui di lokasi kejadian.

"Saksi pertama yang hubungi berkata dia ada nampak macam sebuah lori brek mengejut. Tapi lori itu tak langgar. Lepas brek mengejut, lori itu undur dan pergi tapi saksi tak berapa pasti sebab keadaan gelap. Ada kesan tayar di lokasi kejadian.

"Polis pun cakap dekat helmet ada kesan kena langgar. Cuma masih tak pasti arwah dilanggar kenderaan berat atau tidak. Belum ada rakaman dashcam atau kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi itu," ujarnya kepada mStar.

Selain kemungkinan dilanggar oleh kenderaan berat, Suliana berkata dia juga tidak menolak kemungkinan yang arwah terbabas kerana melanggar kayu yang berada di atas jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak dedah ibu pengsan 2 kali di hospital, tunang nafi wanita dihempap kayu balak sedang hamil

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu wanita kemalangan, pemuda kaku mangsa terlentok di bahu... Minta maaf siap-siap kepada BF atau suami

"Dagu arwah patah dua, dalam badan pun hancur. Tulang patah macam dilanggar kenderaan berat atau laju. Tapi keadaan motor arwah masih elok. Mungkin juga dia terjatuh sebelum dilanggar.

"Saksi kata ada kayu beluti kat tepi jalan. Mungkin arwah langgar kayu, kemudian jatuh dan kena langgar kenderaan. Mungkin juga arwah terpelanting selepas langgar kayu itu," ujarnya lagi.

Menurut Suliana, Allahyarham yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik selamat dikebumikan di kampung halaman mereka di Temerloh, Pahang pada 4 Julai.

3

Keluarga berharap mana-mana saksi dapat tampil membantu siasatan kes kematian Allahyarham Syarifuddin.

Dalam pada itu, Suliana berkata dia juga sedih mengenangkan dua anak Allahyarham yang masih kecil dan belum mengerti pemergian bapa mereka.

"Sebak bila memikirkan anak-anak dan isteri arwah. Anak-anak arwah baru berusia dua dan empat tahun. Bila ditanya anak-anaknya, kami hanya mampu cakap abi dekat syurga.

"Jadi saya nak minta jasa baik rakyat Malaysia untuk jadi saksi kejadian. Mungkin ketika kejadian, anda ada ternampak ia berlaku. Boleh hubungi kami untuk bantu siasatan.

"Kalau ada yang nampak, bolehlah jumpa keluarga kami untuk ceritakan dengan terperinci. Sekarang ini kami hanya boleh assume, tapi badan arwah memang macam kena langgar," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Allahyarham Syarifuddin merupakan Pembantu Pegawai Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Munazira Md Nazir kira-kira lima tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammmad Akif dan Muhammad Aydin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain