PADAH melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, seorang pemandu pelancong didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau, Sabah pada Jumaat. Tertuduh, Bara Madasah, 18 dituduh atas kesalahan mencabul mangsa ketika aktiviti snorkeling di perairan Pulau Kapalai di Semporna pada 3 Julai lalu. Dia dihadapkan di hadapan Hakim Rosli Ahmad mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, remaja perempuan berkenaan datang melancong ke beberapa pulau dan pusat peranginan di Semporna bersama keluarganya dari Klang, Selangor, menggunakan khidmat ejen pelancongan. Ketika kejadian, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa pada pukul 1.49 tengah hari dan perbuatan itu turut dirakam kamera milik remaja berkenaan. Mangsa kemudian menegur tindakan pemuda terbabit, namun tidak diendahkan. Mangsa memaklumkan kepada ahli keluarganya dan selepas itu membuat laporan polis. Bara mengaku bersalah terhadap dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 4 Julai dan dua sebatan. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman. Pendakwaan kes dikendalikan Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube