suria

Stok banyak, tapi tauke kedai runcit kawal... Letak syarat kena beli barang lain dulu sebelum minyak peket subsidi

Sebuah kedai runcit diserbu penguat kuasa KPDN. -Foto KPDN Perak

SEBUAH kedai runcit di Alor Pongsu, Parit Buntar, Perak menerima padah gara-gara mengenakan syarat kepada pelanggan yang mahu membeli minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg).

Tindakan berkenaan menyebabkan kedai runcit tersebut diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Cawangan Parit Buntar, pada Khamis.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan susulan aduan daripada orang awam berhubung pembelian bersyarat ke atas barang kawalan minyak masak peket 1kg di sebuah kedai runcit di pekan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah letak harga mahal, KPDN serbu kedai ikan bakar di Pulau Pangkor

"Penguatkuasa KPDN Parit Buntar menjalankan uji beli melalui Ops Samar di premis tersebut dan mendapati dakwaan pengadu adalah berasas apabila mendapati pihak peniaga mengenakan syarat pembelian dengan membeli barangan lain terlebih dahulu untuk mendapatkan barang kawalan minyak masak peket 1kg.

"Pemeriksaan di bilik penyimpanan dan rak jualan mendapati 164kg peket minyak masak berada dalam simpanan premis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kamalludin menambah satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 diberikan kepada penyelia premis.

"Sebanyak 164kg minyak masak peket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM410.

"Kes itu akan disiasat dengan sewajarnya, dan saya ingin memberi amaran bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan haram seperti itu," katanya lagi.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sedemikian boleh melaporkannya kepada kementerian melalui WhatsApp di 019-279 4317, portal di http://e-aduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan di 1-800-866-800, atau Aplikasi mudah alihnya, EZ Adu KPDN.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain