suria

Kad sim milik suspek bunuh Nur Farah Kartini dianalisa, pencarian bahan bukti di kebun ubi

Suspek bunuh Nur Farah Kartini direman tujuh hari.

PASUKAN polis sedang menganalisa kad sim yang dipercayai digunakan suspek kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus selepas menemukan bahan bukti tersebut

"Ya. Polis sudah menemukan kad sim milik suspek untuk proses analisa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini pula ditemui di lokasi kedua

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, polis turut menjalankan proses sama ke atas kereta jenis Toyota Vios milik suspek selepas pulang dari pencarian bahan bukti di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak, pada Sabtu.

Tambah beliau, kebun ubi tersebut bukanlah milik suspek sebaliknya hanya mengusahakan sebagai kerja sambilan.

Untuk rekod, beg tangan dipercayai milik arwah Nur Farah Kartini ditemui di lokasi kedua pencarian bahan bukti Kampung Batu 4, Trolak, Perak pada Rabu.

Terdahulu, Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik PDRM pada Rabu menemui sebuah telefon pintar dipercayai milik mangsa, di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Pasukan penyelam membuat penemuan itu selepas pencarian selama hampir sejam.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun dan merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal direman sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain