suria

Loji dicemari pencemaran bau, bekalan di 7 wilayah Air Selangor terjejas

Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas. -Gambar hiasan

TUJUH wilayah Air Selangor bakal mengalami gangguan bekalan susulan pemberhentian sementara empat loji rawatan air.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan empat loji terlibat adalah Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang) serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

Jelasnya, penutupan tersebut berpunca daripada insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.

Berikutan henti tugas empat LRA tersebut, tujuh wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Dalam pada itu, Air Selangor memaklumkan pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna.

Tambahnya, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain