suria

Adik kepada Zayn Rayyan diserah kepada nenek saudara… Ibu bapa hanya boleh lawat seminggu sekali

Adik kepada arwah Zayn Rayaan ketika dibawa ke mahkamah, pada Jumaat

MAHKAMAH Majistret Shah Alam di Selangor memerintahkan hak jagaan sementara adik kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, diberikan kepada nenek saudaranya bermula Jumaat.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membuat keputusan itu susulan proses rundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd Raya, yang berlangsung selama sejam.

Hak penjagaan tersebut diberikan selama dua bulan sehingga 4 Oktober ini.

Bagaimanapun, ibu dan bapa kanak-kanak terbabit iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, dibenarkan melawat sekali dalam seminggu dan hanya dalam tempoh lapan jam.

"Bagi sesi terapi, ibu bapa boleh menemani anak mereka sebulan sekali dan membuat panggilan video pada bila-bila masa tanpa sekatan.

"Dalam tempoh lawatan, pegawai perlindungan kanak-kanak (makcik Zaim) perlu hadir," katanya kepada media.

Tambahnya, Zaim dan Ismanira juga diwajibkan membawa anak itu ke sesi terapi khas sebulan sekali.

Keputusan itu memberikan kabar gembira kepada keluarga Zaim dan Ismanira yang tidak henti-henti memeluk dan mencium kanak-kanak terbabit.

Pada 14 Jun lalu, adik kepada Zayn Rayyan ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapatkan perintah penjagaan sementara terhadap kanak-kanak berusia lima tahun itu di Mahkamah Majistret.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain