suria

Dibunuh sebelum rumah dibakar! Bedah siasat dapati muka mangsa hancur, ada kesan hentakan objek tumpul

Suspek bernama Azman (gambar kecil) diburu bagi membantu siasatan.

POLIS sedang mencari seorang lelaki berusia 48 tahun bagi membantu siasatan, susulan kematian pasangan warga emas dan cucu mereka berusia 11 tahun dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kes itu diklasifikasikan semula daripada Laporan Kematian Mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Siasatan polis di lokasi kejadian dan hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat kesan unsur jenayah ke atas mayat mangsa.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; ia juga disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kayu separuh kekal hangus dijilat api... Datuk, nenek serta cucu terkorban

Suspek dikenali sebagai Azman Mohamed Nor, merupakan anak kepada pasangan warga emas itu dan turut tinggal serumah dengan mangsa yang maut dalam kebakaran itu.

"Lelaki itu dipercayai melarikan diri selepas kejadian kebakaran itu berlaku dengan menaiki sebuah motosikal.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek digalakkan menghubungi IPD Muar di talian 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya lagi.

Sementara itu bapa kepada kanak-kanak yang terkorban iaitu Nor Hasyim Mohd Taher, 43, berkata hasil bedah siasat ke atas anaknya mendapati punca kematian dipercayai akibat ketukan pada bahagian kepala.

Keputusan bedah siasat ke atas jenazah Noradriana Nor Hasyim, 11, diperolehi selepas membuat proses pengecaman di Unit Forensik, hospital Pakar Sultanah Fatimah.

"Apa yang boleh dikatakan, anak saya meninggal disebabkan kesan ketukan di kepala, muka hancur sebab bekas ketukan benda tumpul.

"Kesan kebakaran dekat dia tak teruk sangat," katanya ketika ditemui media selepas pengebumian arwah anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh pada Sabtu.

Terdahulu, sepasang suami isteri warga emas dan seorang cucu mereka berusia 11 tahun maut dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan di Pagoh, manakala cucu mereka yang lain cedera di kepala.

Selain Noradriana, mangsa warga emas yang terkorban itu ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Abdul Hamid, 76.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, yang merupakan cucu warga emas itu mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain