suria

Takut isteri marah duit gaji habis bagi perempuan lain, pengawal keselamatan buat laporan polis dakwa disamun Rohingya

Nilai RM1,100 merupakan jumlah purata bagi gaji seorang pengawal keselamatan di Malaysia. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki sanggup membuat laporan polis palsu kononnya disamun dua lelaki kerana bimbang dimarahi isteri selepas wang gaji habis dibelanjakan termasuklah dipinjamkan kepada rakan wanita.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kawasan perindustrian Teluk Kalong itu membuat laporan di Balai Polis Chukai, Terengganu.

Menurut Hanyan, agenda licik lelaki berusia 65 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporannya kira-kira pukul 8 pagi pada Sabtu.

"Lelaki itu mendakwa mengeluarkan wang di sebuah stesen minyak di Kijal sebelum pulang ke rumahnya di Teluk Kalong.

"Dia kemudian memaklumkan kereta dipandunya ditahan seorang lelaki Rohingya yang meminta tolong menghantar rakannya yang terbaring ke klinik sebaik tiba di Jalan Perindustrian Telok Kalong.

"Ketika turun dari kenderaan dan pergi melihat lelaki yang terbaring itu, lelaki Rohingya yang menahan keretanya mengacukan pisau di belakang manakala lelaki yang terbaring bangun dan mengacukan parang di perutnya," katanya.

Kata Hanyan, lelaki Rohingya terbabit kemudian mengambil wang tunai RM1,100 dalam poket mangsa dan terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal berwarna merah.

Bagaimanapun hasil siasatan pihak polis mendapati pengadu akhirnya mengaku bahawa kejadian samun itu tidak pernah berlaku.

"Dia membuat laporan polis kerana terdesak dan takut memberitahu kepada isterinya yang wang gajinya habis digunakan termasuk wang nafkah kepada isterinya," katanya.

"Lelaki terbabit juga mengaku meminjamkan wang gajinya kepada seorang kenalan wanita yang dikenali sejak tiga tahun lalu," katanya lagi.

Siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain