suria

Sah! Mayat wanita tanpa kepala, tangan disumbat dalam tong sampah adalah Cikgu Istiqomah... DNA sepadan dengan ibu

Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu adalah Istiqomah Ahmad Rozi.

IDENTITI mayat tanpa kepala dan tangan yang dijumpai dibuang di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau dekat Pulau Sebang, Melaka pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu, adalah sepadan.

"Mangsa dikenali Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang di Johor pada 23 Disember 2023," ujarnya kepada pemberita.

Susulan itu ujarnya, sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan di Chemor, Perak yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Orang awam jumpa mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan dalam tong sampah tepi jalan

Tambahnya, siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua individu tersebut membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.

"Kita menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer," katanya.

Kedua-dua individu ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan berita kehilangan Istiqomah, seorang guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 23 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai pada 27 Disember tahun lalu, tiga hari selepas kehilangannya.

Suami Istiqomah, Mohd Yusof Mokhtar, 35, juga sebelum ini berikhtiar pelbagai cara untuk mencari isterinya yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, termasuk hebahan menerusi media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain