suria

Suspek pembunuhan kejam rupanya bekas kekasih Cikgu Istiqomah... Disyaki ada kaitan pelaburan Forex

Suspek kes bunuh Istiqomah direman sehingga 19 Ogos ini.

TEMPOH reman suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, disambung selama tujuh hari lagi bermula Selasa (esok).

Majistret Dr Teoh Shu Yee mengeluarkan perintah reman sehingga 19 Ogos itu terhadap suspek bagi membolehkan pihak polis menjalankan dan melengkapkan siasatan.

Suspek berusia 37 tahun yang dipercayai bekas kekasih mangsa itu sebelum ini ditahan reman bersama isterinya sejak 6 Ogos bagi membantu siasatan kes pembunuhan Istiqomah.

Sementara itu isteri suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada pukul 9.10 pagi sebelum dihadapkan ke hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Mayat wanita tanpa kepala, tangan disumbat dalam tong sampah adalah Cikgu Istiqomah... DNA sepadan dengan ibu

Istiqomah, 33, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kota Masai 3 dekat Pasir Gudang, Johor, dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Disember tahun lalu selepas keluar bekerja.

Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai pada 27 Disember.

Pada 31 Disember tahun lalu, mayat seorang wanita ditemukan dibuang di dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Identiti mayat berkenaan akhirnya disahkan sebagai Istiqomah, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibunya pada 2 Ogos lalu, yang mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek merupakan kenalan lelaki Istiqomah yang mana kedua-duanya berkenalan ketika masih menuntut di universiti.

Suspek yang juga bekas guru menjadi pedagang mata wang asing (Forex), dan dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa.

Ujar Ashari, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain