suria

Suami tampil bersuara, Cikgu Istiqomah bukan bekas kekasih suspek… Hanya rakan bisnes - “Dia minta gelang emas isteri”

Mohd Yusof menjelaskan situasi berkaitan arwah isterinya.

SUAMI kepada wanita mangsa bunuh yang mayatnya ditemui tidak lengkap pada 31 Disember lalu nafi arwah pernah menjalinkan hubungan cinta dengan suspek.

Tegas Mohd Yusof Mokhtar, 35, arwah isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, hanyalah rakan perniagaan suspek dan menurutnya pegawai polis juga mengesahkan perjumpaan antara mereka sebelum ini adalah untuk tujuan bisnes.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek pembunuhan kejam rupanya bekas kekasih Cikgu Istiqomah... Disyaki ada kaitan pelaburan Forex

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Mayat wanita tanpa kepala, tangan disumbat dalam tong sampah adalah Cikgu Istiqomah... DNA sepadan dengan ibu

Justeru, dia berharap perkara itu dapat diperbetulkan kerana dilihat bakal mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap arwah isterinya itu.

"Pegawai polis di Ayer Keroh pun ada cakap dengan saya, jangan dengar pihak lain, kes ni saya (pegawai) yang siasat.

"Mungkin semasa dia minta gelang emas isteri saya, tapi tak dapat lalu berlaku pergelutan. Ada kesan pada tangan isteri saya," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Yusoff turut berkongsi keperibadian arwah isterinya yang disifatkan seorang yang sangat pemurah dan suka membantu orang.

Tambah Mohd Yusoff, isterinya itu pernah meminjamkan wang sebanyak RM19,400 yang diperoleh daripada pinjaman bank kepada suspek pada September tahun lalu, beberapa bulan sebelum arwah dilaporkan hilang.

Ujarnya, suspek yang dikenali arwah sejak lapan tahun lalu ketika melanjutkan pengajian di institut pendidikan guru mengajak untuk menyertai satu perniagaan sebelum mangsa menyerahkan wang berkenaan kepada individu terbabit.

Ujarnya, suspek bagaimanapun ada membuat bayaran balik secara ansuran sebanyak RM371 sebulan sehingga Disember.

"Rakannya itu ada membuat bayaran balik sebanyak RM371 pada bulan berikutnya sebelum mengajak Istiqomah untuk berjumpa," kata Mohd Yusoff.

Jelasnya, pertemuan itu dipercayai untuk mengajak Istiqomah menambah pelaburan, namun arwah isterinya menolak.

Malah ketika itu, mangsa didakwa memakai seutas gelang tangan emas pemberian arwah neneknya yang dianggarkan bernilai RM40,000.

"Sedih dan luluh hati saya bila dapat tahu isteri tersayang yang hilang sejak lapan bulan lalu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dan tragis.

"Malah gelang tangan yang dipakai isteri turut hilang dalam kejadian itu," katanya lagi.

Terdahulu mStar melaporkan Istiqomah yang merupakan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di Johor dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.

Pada 31 Disember tahun lalu, mayat seorang wanita ditemukan dibuang di dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Identiti mayat berkenaan akhirnya disahkan sebagai Istiqomah, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibunya pada 2 Ogos lalu, yang mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.

Susulan itu, suspek berusia 37 tahun yang juga bekas guru dan menjadi pedagang mata wang asing (Forex), dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa disambung reman selama tujuh hari bermula Selasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain