SEORANG suami sempat menelefon isterinya sebelum wanita itu maut bersama anak bongsu mereka dalam kemalangan. Khairul Rahmat Mohammed Tahir, 35, tidak menyangka panggilan telefon yang dibuat pada pukul 7 pagi Khamis merupakan perbualan terakhirnya bersama isteri. Isterinya, Sakinah Kamarudin, 37, dan anak bongsu, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat, 9, maut dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi Khamis di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Kangsar-Manong, dekat Ulu Kenas, di Kuala Kangsar. Sementara itu, anak sulungnya, Nur Safa' Rafissah, 10, mengalami kecederaan parah di kepala. Khairul Rahmat yang merupakan peniaga berkata, dia berada di Hospital Kuala Kangsar kerana menjaga bapanya yang sakit sambil menambah hanya mengetahui nahas berlaku sebaik dihubungi kerani sekolah. Menurutnya, menjadi rutin isterinya untuk menghantar kedua-dua anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lempor, sebelum pergi ke tempat kerja. "Pagi tadi saya sempat hubungi isteri untuk tanyakan tentang anak-anak, ketika itu arwah beritahu dia baru hendak keluar menghantar anak ke sekolah. "Dalam perbualan tu, arwah seperti biasa sahaja. Tak sangka itu adalah perbualan terakhir kami," katanya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar. Khairul Rahmat memberitahu, dia terus bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada kerani sekolah. "Tetapi waktu itu mereka sudah tidak ada (meninggal dunia)," ujarnya sebak. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa jenis Honda City hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum berpusing dan masuk ke laluan bertentangan. Menurutnya, ketika itu datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire yang tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku rempuhan di sisi kereta. "Pemandu dan penumpang hadapan Honda City berjaya dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. "Penumpang belakang pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu MPV berusia 62 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Soffian Rosman di talian 014-5671803 atau 05-7762222 bagi membantu siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube