suria

Pesara kerajaan putih mata wang simpanan lebih RM276,000 lesap! Terpedaya panggilan telefon ‘scammer’

Seorang wanita mengalami kerugian selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam'. -Gambar hiasan

SEORANG pesara kerajaan berputih mata apabila mengalami kerugian RM276,900 selepas terpedaya dengan penipuan 'phone scam'.

Penipuan tersebut dilakukan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pada Rabu, wanita berusia 64 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai SKMM pada 16 Julai lalu.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan panggilan seterusnya disambung kepada seornag lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Sepanjang tempoh dari 16 Julai hingga 29 Julai lalu, mangsa diarahkan suspek untuk membuat transaksi ke enam akaun bank yang berlainan melalui mesin juruwang automatik (ATM)," katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, siasatan mendapati mangsa terpaksa menggunakan sumber kewangan daripada wang simpanannya dan suami menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain