SOSIAL media memainkan peranan penting dalam kehidupan moden sehingga ia mampu menjadikan seseorang itu terkenal dengan sekelip mata. Fenomena sama dirasai seorang rakyat Malaysia yang menjual buah dikenali sebagai Mango Boy yang menjadi buruan hangat jejaka dan gadis warganegara Korea. Mango Boy yang membuka gerai buah di Kota Kinabalu, Sabah sering disapa oleh pelawat daripada Korea kerana berkebolehan berbual dan bergurau senda dalam bahasa mereka. Mango Boy pandai mengambil hati pengunjung dari Korea Selatan. Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang pelancong Korea dikenali sebagai Tangyeong, memuat naik video memaparkan Mango Boy sedang berniaga di sebuah pasar malam. "Saya dilayan dengan baik oleh Mango Boy di Kota Kinabalu," tulis Tangyeong pada ruangan kapsyen videonya. Menerusi video itu, kedengaran Mango Boy bercakap dalam bahasa Korea dipercayai sedang berjenaka tentang hidangan makanan tertentu sambil menyanyikan lagu Tanghulu yang sedang trending di negara berkenaan. Sekiranya disemak di platform media sosial, nama Mango Boy sebenarnya sedang viral diperkatakan oleh beberapa portal di Korea seperti Korean travel page dan Travelholic Korea. Bukan mangga tu yang laku, tapi abang ni yang terlajak laris. WARGA MAYA Malah Mango Boy juga mempunyai tanda pagar (hashtag) tersendiri di Korea iaitu #망고보이. Menjengah ke ruangan komen, pelayar tempatan juga turut terpegun dan hairan bagaimana seorang rakyat Malaysia boleh menjadi sebegitu popular di Korea Selatan. "Kalau hebat sampai macam ni sekali cakap Korea, tak lama lagi memang kahwin dengan orang sana je la. "Bukan mangga tu yang laku, tapi abang ni yang terlajak laris. Tapi kalau cuba dengar betul-betul, dia punya loghat bahasa Korea macam dari daerah Busan," demikian kata sebahagian warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube