suria

Sudah berbulan-bulan meninggal dunia, suami harap jenazah Cikgu Istiqomah dapat dikebumikan segera

Suami Istiqomah Ahmad Rozi masih menunggu proses tuntutan jenazah isterinya.

"KAMI di sini menunggu penuh sabar," demikian kata suami kepada Istiqomah Ahmad Rozi, guru wanita yang dibunuh dengan kejam pada Disember tahun lalu.

Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata pihak keluarganya amat berharap jenazah isterinya dapat dituntut segera bagi urusan pengebumian.

"Saya amat berharap jenazah isteri dapat dituntut segera memandangkan sudah berbulan-bulan arwah meninggal dunia," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mohd Yusof menambah setakat ini pihak keluarga masih belum menerima sebarang makluman daripada polis mahupun Hospital Melaka berkenaan proses tuntutan jenazah isterinya.

Katanya, dia dimaklumkan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk menunggu laporan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kepala dan jari yang ditemukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek pembunuhan kejam rupanya bekas kekasih Cikgu Istiqomah... Disyaki ada kaitan pelaburan Forex

"Saya ada terbaca laporan akhbar bahawa mayat belum boleh dituntut dan polis menunggu laporan DNA.

"Difahamkan ia akan diperolehi pada minggu depan," ujarnya lagi.

Pada Isnin, polis mengesahkan identiti mayat tanpa kepala dan tangan yang dijumpai dibuang di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau dekat Pulau Sebang, Melaka pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi.

Ia berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibunya pada 2 Ogos lalu, yang mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.

Istiqomah, 33, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kota Masai 3 dekat Pasir Gudang, Johor, dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Disember tahun lalu selepas keluar bekerja.

Susulan itu, seorang lelaki yang merupakan kenalan Allahyarhamah ditahan reman sehingga 19 Ogos bagi membolehkan pihak polis menjalankan dan melengkapkan siasatan.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain