suria

Sindiket 'guru perdagangan' lumpuh, 10 ditahan termasuk pemilik syarikat pelaburan

Ramli menunjukkan suspek yang ditahan dalam beberapa siri serbuan seluruh Malaysia.

SINDIKET penipuan yang menjanjikan pulangan sehingga 15 peratus dengan slogan 'guru perdagangan' lumpuh selepas 10 individu termasuk pemilik dan pengarah syarikat ditahan dalam beberapa siri serbuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua 10 individu tersebut ditahan berkaitan penipuan pelaburan yang menyalahgunakan nama firma terkemuka untuk menipu 44 mangsa membabitkan kerugian sehingga RM21.9 juta.

Ujar beliau, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 21 dan 52 tahun itu ditahan dalam serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak pada 30 dan 31 Julai.

“Sindiket itu menyamar sebagai firma pelaburan Warburg Pincus untuk menipu mangsa.

"Kami turut merampas barang termasuk lapan telefon bimbit, kad ATM dan salinan dokumen pendaftaran syarikat," katanya pada Selasa.

Tambah Ramli, mereka yang ditahan ialah pemilik dan pengarah syarikat penipuan berkenaan.

“Siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak awal tahun ini.

“Ia akan mengiklan di Facebook dan berkomunikasi dengan mangsa melalui WhatsApp.

"Mereka menjanjikan pulangan antara 11peratus dan 15 peratus untuk menarik mangsa serta menawarkan khidmat 'guru perdagangan'," katanya.

Ramli berkata mangsa perlu memuat turun aplikasi mudah alih dan menggunakannya untuk memindahkan wang ke akaun yang dipercayai milik 'keldai akaun'.

Ujar beliau lagi, sebanyak 44 kertas siasatan membabitkan kerugian RM21.9 juta telah dibuka setakat ini.

“Kami juga membekukan 35 akaun bank yang mengandungi dana RM162,598,” katanya.

Comm Ramli mengingatkan orang ramai bahawa tawaran pelaburan di platform media sosial mesti dianggap sebagai penipuan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain