suria

Suspek tikam dua wanita direman tujuh hari, mangsa dakwa tidak mengenali dalang utama

Suspek tikam dua wanita di tandas sebuah surau direman tujuh hari.

SEORANG lelaki berusia 46 tahun yang ditahan berhubung serangan pisau sehingga mengakibatkan dua wanita cedera, direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata suspek ditahan reman bersama seorang rakan lelaki berusia 55 tahun selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di Selangor, pada Selasa.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan di rumah rakannya di Kajang kira-kira pukul 1.45 pagi.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua wanita ditikam ketika gunakan tandas di Kelana Jaya, suspek dipercayai guna pisau Rambo

Shahrulnizam berkata, kedua-dua mangsa, seorang daripadanya guru besar sebuah sekolah agama di Kelana Jaya dan seorang lagi peniaga telefon bimbit, tidak mengenali suspek utama.

“Kami masih menyiasat motif di sebalik serangan itu,” katanya.

Kedua-dua mangsa telah dibenarkan keluar dari Hospital Shah Alam.

Dilaporkan bahawa kedua-dua wanita itu cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau survival ala 'Rambo' pada 1.45 tengah hari Jumaat.

Rakaman CCTV dari sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan penyerang melarikan diri dengan sebuah kereta.

Polis berjaya mendapatkan nombor pendaftaran kereta daripada rakaman tersebut. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain