suria

Azman berjaya ditahan! Suspek kes bunuh dan bakar ibu bapa serta anak saudara sendiri akan direman pagi ini

Azman berjaya ditahan pada Rabu selepas hampir seminggu diburu polis.

POLIS berjaya menahan suspek kes bunuh dan bakar rumah hingga meragut nyawa tiga sekeluarga di Pagoh, Johor dalam kejadian pada 9 Ogos lalu.

Suspek, Azman Mohamed Nor berjaya diberkas pada pagi Rabu selepas hampir seminggu diburu pihak polis.

Susulan itu, lelaki bujang berusia 48 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar di Johor untuk direman bagi siasatan lanjut.

Azman merupakan antara individu yang dikehendaki polis susulan kematian tiga sekeluarga dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan itu.

Sebelum ini, sepasang suami isteri warga emas dan seorang cucu mereka berusia 11 tahun maut dalam kebakaran rumah manakala seorang lagi cucu yang lain cedera di kepala.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya, Ara Abd Hamid, 76, dan cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, yang merupakan cucu warga emas itu mengalami kecederaan pada kepala.

ARTIKEL BERKAITAN: Dibunuh sebelum rumah dibakar! Bedah siasat dapati muka mangsa hancur, ada kesan hentakan objek tumpul

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kayu separuh kekal hangus dijilat api... Datuk, nenek serta cucu terkorban

Bapa kepada kanak-kanak yang terkorban iaitu Nor Hasyim Mohd Taher, 43, berkata hasil bedah siasat ke atas anaknya mendapati punca kematian dipercayai akibat ketukan pada bahagian kepala.

Keputusan bedah siasat ke atas jenazah Noradriana Nor Hasyim, 11, diperolehi selepas membuat proses pengecaman di Unit Forensik, hospital sama.

Pada mulanya polis menganggap ia sebagai kes mati mengejut namun kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas laporan bedah siasat mendapati adanya unsur jenayah terhadap ketiga-tiga mangsa.

Untuk makluman, suspek merupakan anak kepada pasangan warga emas itu dan turut tinggal serumah dengan mangsa.

Polis kemudiannya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain