suria

Lari sampai ke Bukit Bintang... Suspek bunuh 3 sekeluarga merayau bawa beg pakaian

Azman Mohamed Nor direman selama 7 hari sehingga 20 Ogos.

LELAKI yang dipercayai membunuh dan membakar rumah sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga di Pagoh, Johor dalam kejadian pada 9 Ogos lalu direman selama tujuh hari bermula Rabu.

Perintah reman terhadap suspek, Azman Mohamed Nor berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Penahanan suspek yang juga anak kepada dua warga emas yang maut itu adalah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Muar, Johor pada pukul 9.13 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Azman ditahan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 1 pagi Rabu selepas didapati merayau sambil membawa beg berisi pakaian.

Hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya diberkas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Difahamkan suspek melarikan diri ke Kuala Lumpur pada hari kejadian dengan menaiki bas, manakala motosikal ditunggangnya ditinggalkan di Terminal Bas Bentayan, Muar.

ARTIKEL BERKAITAN: Azman berjaya ditahan! Suspek kes bunuh dan bakar ibu bapa serta anak saudara sendiri akan direman pagi ini

ARTIKEL BERKAITAN: Dibunuh sebelum rumah dibakar! Bedah siasat dapati muka mangsa hancur, ada kesan hentakan objek tumpul

Sebelum tangkapan dibuat, polis menerima maklumat mengenai kelibat suspek yang dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian menyayat hati pada 9 Ogos lalu, sepasang suami isteri warga emas dan seorang cucu mereka berusia 11 tahun maut selepas dipercayai dicederakan sebelum rumah mereka dibakar.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya, Ara Abd Hamid, 76, dan cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11.

Bapa kepada kanak-kanak yang terkorban iaitu Nor Hasyim Mohd Taher, 43, berkata bedah siasat ke atas anaknya mendapati punca kematian dipercayai akibat ketukan pada bahagian kepala.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, yang merupakan cucu warga emas itu dan kakak Noradriana mengalami kecederaan pada kepala dan menerima lapan jahitan selain patah pergelangan tangan kanan.

Untuk makluman, suspek merupakan anak kepada pasangan warga emas itu dan turut tinggal serumah dengan mangsa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain