suria

Cleopatra tak pernah jadi isteri Bakri Zinin... Mahkamah putuskan perkahwinan tak wujud

Cleopatra sebelum ini hairan apabila menerima sijil pernikahan dari Thailand.

PEMPENGARUH media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin meluahkan kesyukuran susulan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu mendapati perkahwinan antaranya dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, tidak pernah wujud.

Nur Fathiah atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, 30, pada Februari lalu memfailkan permohonan di mahkamah mengenai status 'pernikahan' dan sijil nikah dari Thailand yang diperolehnya.

"Saya harap pihak berkuasa menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu dan saya telah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba dapat sijil nikah, Cleopatra nafi pernah kahwin Bakri Zinin

Sementara itu peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas menilai semua affidavit yang difailkan kedua-dua pihak.

Ujarnya, memandangkan anak guamnya selaku pemohon sementara Mohd Bakri (responden) mengesahkan pernikahan itu tidak wujud maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk membuktikan kesahihan sijil nikah dari Thailand itu.

"Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat tidak menjurus kepada perkara berkenaan (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan lanjut.

"Mahkamah hanya fokus sama ada pernikahan ini wujud atau tidak," katanya lagi.

Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri, 70, turut mengesahkan perkara sama, bahawa tiada pernikahan berlaku antara anak guamnya dengan Cleopatra.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain