suria

Tragedi berdarah! Pencuci kereta maut ditetak, pak guard cedera diserang 5 samseng

Seorang pencuci kereta maut, manakala pengawal keselamatan cedera ditetak dalam kejadian serangan di Bedong. -Gambar hiasan

TRAGEDI berdarah menimpa seorang pekerja cuci kereta apabila maut, dipercayai ditetak dalam insiden serangan di kawasan Bedong di Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan pula parah diserang dan mempunyai kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di Bedong.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.

Menurutnya, pihaknya dari pondok polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima panggilan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan di Zon Merah pada pukul 2.20 pagi berhubung kes dua lelaki yang mempunyai kesan kecederaan akibat ditetak.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, apabila mangsa pertama iaitu pengawal keselamatan yang ketika itu sedang bekerja dan ditemani seorang rakan dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang.

"Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan.

"Rakan mangsa pula sempat melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Wan Azharuddin berkata, kesemua suspek kemudian menuju ke lorong belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak 2.7 kilometer dari lokasi kejadian pertama dan menyerang mangsa yang juga pekerja kedai cuci kereta yang berada di situ.

"Mangsa mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) turut membantu di lokasi kejadian bagi menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan.

"Setakat ini polis sudah menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi IPD Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat kes ASP Azmirul bin Abdul Aziz di talian 019-444 6521.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain