suria

Aneka makanan enak, promosi pelancongan... 10,000 dijangka serbu program Bank Rakyat ‘Tourism and Halal Food Expo’

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melancarkan Tourism and Halal Food Expo anjuran Bank Rakyat pada Khamis.

BAGI mereka yang berkelapangan pada hujung minggu ini, apa kata anda berkunjung ke Tourism and Halal Food Expo yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Program anjuran Bank Rakyat ini berlangsung selama lima hari bermula 21 Ogos hingga 25 Ogos 2024 dengan pelbagai tawaran promosi menarik daripada lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan makanan halal popular seperti Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre dan Mamasab.

Menyasarkan kehadiran seramai 10,000 pengunjung khususnya dari Lembah Klang, ekspo ini turut memperkenalkan konsep bayaran tanpa tunai.

Ewon melawat booth usahawan dan agensi yang mengambil bahagian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, menerusi penganjuran ini diharapkan semua usahawan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang dengan menjalin hubungan perniagaan, selain meneroka potensi baharu untuk terus memajukan sektor pelancongan dan makanan halal negara.

"Inisiatif ini adalah platform terbaik bagi perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri halal menerusi pemasaran produk makanan halal kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Antara yang menarik disediakan buat pengunjung adalah promosi 'Fly Borneo Specials Vol. 2' oleh Tourism Malaysia, memberi peluang kepada orang ramai meneroka destinasi di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan promosi istimewa.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan pelan ansuran tanpa faedah sehingga 36 bulan dengan menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bagi pembelian pakej pelancongan.

Sebahagian peserta bergambar kenangan bersama Ewon.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktviti seperti cabutan hadiah serta berhibur dengan persembahan buskers, dikir barat dan wayang kulit.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, pula menekankan komitmen pihaknya dalam menyokong amalan tanpa tunai dan industri pelancongan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat madani.

"Inisiatif ini juga sebagai manifestasi Bank Rakyat dalam menyokong dan merancakkan industri pelancongan dan makanan halal negara kita.

"Diharapkan dengan usaha ini akan menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa untuk menerokai keunikan budaya dan makanan tempatan kita," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain