suria

Suami dengar jeritan isteri, kemudian terus senyap... Sukar nak cerita kejadian tragis

Suami mangsa menceritakan tragedi yang menimpa isterinya.

MANGSA yang terjatuh dan dikhuatiri tertimbus di bawah tanah mendap sedalam lapan meter di hadapan Malayan Masion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, sempat menjerit meminta pertolongan.

Situasi cemas pada pagi Jumaat itu diceritakan semula suaminya yang turut berada di lokasi kejadian.

Menurut lelaki berusia sekitar 40-an itu, isterinya pada awalnya menjerit meminta tolong selepas terjatuh tetapi terus senyap tidak lama kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah mendap ketika sedang berjalan di Masjid India, wanita dikhuatiri tertimbus sedalam 10 meter

Sedih dengan tragedi yang menimpa, dia juga kelihatan agak keberatan untuk menceritakan insiden kemalangan dengan lebih lanjut selain mengalami kesukaran untuk berkomunikasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.

"Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.

"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya pada Jumaat.

Tambah beliau, setakat ini kawasan tersebut masih dianggap selamat dan perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutupnya.

Katanya, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi SAR itu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.

Terdahulu, mangsa yang merupakan pelancong dari India terjatuh ketika berjalan kaki di kawasan berkenaan, kira-kira pukul 8 pagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain