suria

Bau busuk bongkar kematian warga emas, anak OKU dalam rumah... Mangsa dipercayai maut akibat kelaparan

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam rumah berkenaan.

KEMATIAN dua beranak berstatus orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Sungai Abong, Muar di Johor terbongkar selepas jiran tetangga menghidu bau busuk.

Lebih menyayat hati apabila terdapat seorang lagi individu yang berada dalam keadaan lemah dan kekurangan zat makanan di rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa dipercayai bapa dan anak lelaki yang berusia 76 dan 37 tahun.

Ujar beliau, pihaknya menerima laporan pada Jumaat daripada jiran yang menyedari bau busuk datang dari rumah mangsa.

“Hasil pemeriksaan pada pukul 1 tengah hari, kami menemui dua lelaki yang maut dipercayai bapa dan anak lelaki.

“Kami turut menemui seorang wanita berusia 44 tahun, yang juga seorang OKU dan dipercayai anak kepada lelaki berusia 76 tahun itu.

“Dia ditemui dalam keadaan lemah dan kekurangan zat makanan, berkemungkinan disebabkan beberapa hari kelaparan,” katanya dalam satu kenyataan.

Raiz menambah, mayat kedua-dua lelaki itu kini menjalani pemeriksaan bedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, manakala wanita itu menerima rawatan susulan.

Pihak polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu dan terus berwaspada di kawasan kejiranan mereka.

Kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR). - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain