suria

Wanita dakwa diculik menaiki Myvi 'kantoi' bermalam dengan rakan lelaki, positif dadah

Polis bertindak atas risikan dan makluman orang awam. -Gambar hiasan

SEORANG wanita yang mendakwa dirinya diculik pada Khamis lalu, ditemukan dalam keadaan selamat di Tanjung Gemok, Rompin di Pahang.

Pasukan polis Johor menerima laporan polis berhubung wanita berusia 24 tahun itu pada pukul 5.23 petang, Khamis.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, hasil siasatan dan gerakan mencari mangsa dijalankan membabitkan pelbagai elemen serta hasil maklumat orang awam.

"Dia ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan Rompin.

“Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan kawan-kawan di kawasan mangsa dijumpai,” katanya.

Menurut Abdul Razak, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 26 dan 24 tahun yang bersama wanita tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.

Sejak Khamis lalu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya diculik tiga lelaki yang menaiki Perodua Myvi warna hitam kira-kira pukul 3 petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain