suria

Mayat tanpa pakaian ditemukan dalam longkang

Kes pembunuhan pastinya merisaukan orang ramai. -Gambar hiasan

MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian di belakang sebuah kedai di Pekan Lama Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata terdapat juga kesan luka tumpul pada bahagian kepala dan badan mayat berkenaan.

Menurut Abdul Malek, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 12.25 tengah hari daripada orang awam.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati lelaki itu dipercayai warga asing yang mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut pendek, bertubuh sederhana dan tinggi lebih kurang 165 sentimeter.

"Mangsa mungkin meninggal dunia dalam tempoh 24 jam berdasarkan siasatan awal," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Abdul Malek, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an.

"Pemeriksaan lanjut pada badan menemui kesan luka daripada objek tumpul pada kepala dan beberapa bahagian badan lain dan dipercayai mati akibat dibunuh.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain