PENDUDUK di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak digemparkan dengan penemuan mayat bayi berusia tujuh bulan yang ditanam di bawah lantai simen di parkir sebuah rumah. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, mayat mangsa pada awalnya ditemukan seorang lelaki warga tempatan yang sedang membuat kerja baik pulih rumah berkenaan pada Rabu. "Kita terima laporan pada pukul 12.15 tengah hari dari lelaki yang melakukan kerja baik pulih rumah dengan mengorek tanah bagi menyimen semula lantai. "Susulan itu, mayat bayi akan dihantar ke unit forensik Hospital Permaisuri Bainun bagi proses bedah siasat pada 29 Ogos bagi mendapatkan punca kematian. "Hasil pemeriksaan awal patologi mengesahkan mayat berusia tujuh bulan semasa dilahirkan dan berjantina perempuan," ujarnya. Menurut Abang Zainal Abidin, hasil risikan yang dibuat, rumah tersebut disewa oleh seorang wanita warga Indonesia sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewaan RM400 sebulan. Ujarnya, maklumat berkenaan diperoleh daripada pemilik kediaman tersebut yang telah membelinya kira-kira 20 tahun lalu. Malah katanya, pemilik yang tinggal selang sebuah rumah dari lokasi kejadian mengetahui penyewanya sedang hamil kerana ternampak keadaan semasa wanita itu ketika membuat kutipan sewa. Bagaimanapun, dia difahamkan bahawa wanita itu telah melarikan diri dari rumah sewa sejak sebulan lalu. Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kerana menyembunyikan kelahiran. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube