suria

Lagi tanah mendap dekat lokasi lubang benam di Jalan Masjid India

Sulizmie (kanan) membuat tinjauan di kawasan mendapan baharu di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada Rabu. -Foto Astro Awani

BELUM reda insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, satu lagi mendapan tanah dikesan berhampiran lokasi kejadian.

Dilaporkan kejadian tanah mendap itu dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden lubang benam yang berlaku pada Jumaat lalu.

Mendapan baharu itu dipercayai berlaku kira-kira 2.30 pagi Rabu ekoran hujan lebat pada malam Selasa.

Difahamkan, kawasan itu sudah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lubang benam: Bomba dedah cerita sebenar selam air kumbahan, arus deras - “Memang dalam”

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras bawah tanah, bomba ‘standby’ di Pantai Dalam

Memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan kejadian mendapan tanah baharu di Jalan Masjid India, pada pagi Rabu.

Perkara tersebut disahkan beliau sewaktu hadir ke lokasi jam 9.30 pagi bagi meninjau situasi semasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membincangkan mengenai memperluaskan penutupan jalan di kawasan tersebut.

Pada pagi Jumaat lalu, seorang wanita warga India hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, masih belum dijumpai setakat pagi Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keenam bersambung pagi Rabu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain