suria

Suspek bertopeng keempat ditahan, polis buka tiga lagi kertas siasatan

Suspek keempat geng bertopeng direman sehingga 2 September.

POLIS berjaya menahan suspek keempat kes pembunuhan seorang lelaki di Taman Rim Baru, Jasin di Melaka, Ahad lalu.

Individu yang terlibat dalam kumpulan bertopeng menyerang dan mengejar mangsa berusia 24 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Selasa.

Perintah reman sehingga 2 September ini dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 21 tahun itu, bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikejar hingga ke hospital! Pemuda maut ditetak, diserang sekumpulan lelaki bertopeng

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Jasin kira-kira pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis.

Untuk rekod, seorang lelaki berusia 24 tahun maut dipercayai ditetak lelaki bertopeng berhampiran bahagian kecemasan Hospital Jasin ketika cuba mendapatkan rawatan selepas diserang pertama kali di kedai gunting rambut di Taman Rim Baru kira-kira pukul 8.40 malam, Ahad.

Insiden ngeri itu turut disaksikan kakitangan perubatan dan pesakit yang berada di lokasi kejadian.

Selain mangsa, ambulans yang diletakkan di unit kecemasan turut mengalami kerosakan

Susulan itu, tiga suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun ditahan dan direman selama tujuh hari bermula Isnin di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, tiga lagi kertas siasatan dibuka yang merujuk kepada kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506, 148 dan 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis masih memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain