suria

MHO gesa wujud mekanisme urus lambakan pekerja asing, puji usaha CLAB

Perkhidmatan pekerja warga asing amat diperlukan di Malaysia terutama dalam sektor pembinaan. -Gambar hiasan

PENGAMBILAN pekerja warga asing seolah-olah menjadi satu kemestian dalam kalangan majikan dan syarikat di Malaysia dengan anggaran pertambahan sebanyak 600,000 orang, dalam tempoh setahun.

Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia, sehingga 15 Mac 2024, jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang.

Pertambahan yang mendadak itu bukan sahaja menyebabkan berlakunya lambakan warga asing, malah mengakibatkan negara sukar mencapai Tahap 2 dalam laporan tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesukaran tersebut berpunca daripada pelbagai aduan yang diterima membabitkan keberadaan pekerja warga asing berkenaan termasuklah isu penempatan yang tidak mencapai piawaian ditetapkan kerajaan.

Mengulas mengenainya, ujar beliau, kebanyakan majikan tidak menyediakan kawasan penempatan yang mempunyai persekitaran yang baik walhal ia dititikberatkan dalam pelan anti pemerdangan orang.

Hisham merupakan aktivis yang memperjuangkan hak kemanusiaan.

Hishamuddin merupakan aktivis yang memperjuangkan hak kemanusiaan.

Sehubungan itu, katanya, bagi mencapai Tahap 2 atau Tahap 1, para majikan perlu berganding bahu mengatasi aduan negatif seperti tunggakan gaji dan masalah penempatan terlebih dahulu.

“Kita menerima aduan daripada keluarga dan warga asing itu sendiri yang mana mereka berasa ditipu apabila dijanjikan pekerjaan tetapi tidak memperolehnya dan gaji juga tidak diterima.

“Mereka diletakkan di tempat tinggal yang sesak dengan akses makanan yang tidak mencukupi manakala pasport dipegang oleh majikan bagi mengelakkan mereka keluar,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penginapan pekerja asing selesa di CLQ... Fasiliti lengkap macam huni kondo, setanding negara lain!

ARTIKEL BERKAITAN: Lambakan pekerja binaan asing di Malaysia: CLAB sedia urus sepenuhnya... Pengambilan lebih sistematik, kebajikan terjaga

Menurut Hishamuddin, berdasarkan aduan yang diterimanya, kebanyakan mangsa penipuan adalah pekerja asing warga Bangladesh - seolah-olah perkara tersebut telah dinormalisasikan di Malaysia.

‘Kesengsaraan’ yang dialami itu menyebabkan mereka membuat aduan, bukan sahaja kepada MHO, tetapi turut melibatkan kedutaan dan Jabatan Tenaga Kerja.

Penempatan warga asing antara isu yang dibangkitkan dalam TIP. -Gambar hiasan

Penempatan warga asing antara isu yang dibangkitkan dalam TIP. -Gambar hiasan

Malah katanya, terdapat beberapa pekerja warga asing yang berjaya menerima 'award' selepas isu tersebut diketengahkan di mahkamah buruh.

Namun malangnya pihak majikan masih berdegil dan terus mengabaikan perintah mahkamah.

Tambah beliau, tindakan tidak bertanggungjawab majikan serta syarikat terbabit telah memberikan imej buruk dan negatif terhadap Malaysia yang turut menyumbang kepada kesukaran untuk negara naik ke Tahap 1 indeks TIP.

“Sebab itu perlu satu mekanisme kerana kelulusan diberikan kepada majikan yang sepatutnya layak tapi apabila pekerja sampai di sini, (majikan) tak mampu bayar gaji.

“Buktinya di Pengerang (Johor) apabila bawa masuk banyak pekerja asing dari Bangladesh kemudian mereka tak dapat gaji dan menyebabkan mereka (pekerja asing) cari tempat lain... mereka membuat tuntutan di mahkamah buruh dan menang award tapi tetap tidak dibayar,” tegasnya.

Kemasukan warga asing yang tidak terurus menyebabkan berlakunya lambakan di negara ini. -Gambar hiasan

Kemasukan warga asing yang tidak terurus menyebabkan berlakunya lambakan di negara ini. -Gambar hiasan

Penindasan yang berlaku itu menyebabkan, beliau mempersoalkan bagaimana kelulusan permit kerja sementara diberikan kepada syarikat yang tidak berkeupayaan untuk menggajikan mahupun menyediakan pekerjaan kepada warga asing.

Malah beliau turut mendesak agar golongan tersebut disenarai hitam supaya tidak boleh mengeluarkan pas pekerjaan sementara selain menggesa kerajaan supaya membuat tapisan sewajarnya sekali gus mengelakkan krisis kemanusiaan terus berlaku.

Untuk rekod, berdasarkan laporan Perangkaan Demografi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, berlaku pertambahan sebanyak 600,000 warga asing hanya dalam tempoh setahun.

Ia menjadikan Malaysia mempunyai jumlah pekerja asing antara yang tinggi iaitu 3.4 juta atau 10 peratus daripada 34 juta penduduk.

Jumlah rakyat Malaysia setakat suku pertama 2024 ialah 30.6 juta.

Kebajikan pekerja warga asing juga perlu dijaga dengan sebaiknya. -Gambar hiasan

Kebajikan pekerja warga asing juga perlu dijaga dengan sebaiknya. -Gambar hiasan

Pusat CLQ 'hotel lima bintang' pekerja warga asing

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memuji langkah dan usaha Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) dalam pengendalian serta penempatan pekerja warga asing yang dibawa masuk ke negara ini menerusi penubuhan pusat penempatan pekerja berpusat (CLQ).

Selain menyifatkan fasiliti yang disediakan di pusat itu sebagai bertaraf 'lima bintang', ujar beliau, usaha CLAB juga dapat mengelakkan masalah berbangkit seperti kebanjiran warga asing di kawasan penempatan rakyat tempatan sehingga menyebabkan ketidakselesaan penghuni.

"Fasiliti pekerja warga asing untuk pengurusan dan penempatan CLAB adalah usaha yang baik. Saya melihat mereka dibawa masuk secara terurus dan efektif.

"Seharusnya pekerja warga asing tidak dibiarkan sepertimana tempat tinggal haiwan kerana mereka juga manusia dan perlu dilayan atas dasar kemanusiaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pusat seperti CLQ dapat diperbanyakkan di seluruh Malaysia supaya warga migran dan pekerja asing dapat tinggal di kediaman yang memenuhi ciri-ciri kemanusiaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain