suria

Yakin Allah sayang, lelaki India hampir ‘ditelan’ tanah jerlus nekad peluk Islam... Pilih nama Harizan lepas mengucap syahadah

Harizan (dua dari kiri) memeluk Islam selepas terselamat daripada insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. -Foto Facebook

BENARLAH, hidayah itu milik Allah.

Demikianlah juga dengan kisah seorang lelaki berbangsa India ini yang nekad mengambil keputusan untuk memeluk Islam selepas terselamat daripada insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, 23 Ogos minggu lalu.

Berita pengislaman lelaki yang dikenali sebagai Haridath itu dikongsikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Difahamkan, Haridath melafazkan dua kalimah syahadah di Islamic Outreach ABIM (LOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.

"Sebaik sahaja dia terselamat, dia terus membuat keputusan hendak masuk Islam secepat mungkin. Dia benar-benar yakin dengan adanya Allah SWT dan Allah telah menyelamatkan dia daripada ditelan bumi.

"Maka dia terus yakin yang Allah sayangkan dia dan dia mesti masuk Islam dan menjadi seorang muslimin.

"Masya-Allah kami semua berasa terharu dengan hidayah yang Allah SWT campakkan kepada beliau serta merta.

"Dia memilih nama barunya Harizan. Dia betul-betul terharu apabila kita peluk dia selepas dia mengucap syahadah, berlinang air mata," demikian perkongsian berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras bawah tanah, bomba ‘standby’ di Pantai Dalam

Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Jumaat minggu lalu bukan hanya mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, bahkan mencetuskan kebimbangan ramai mengenai keselamatan di lokasi berhampiran.

Rakaman kejadian tersebut, yang memaparkan detik-detik cemas sebelum berlakunya tanah jerlus, menjadi tular di media sosial.

Dalam rakaman berkenaan, seorang wanita warga India yang sedang berjalan bersama individu lain, secara tiba-tiba ditelan bumi.

Seorang lelaki yang berada berhampiran turut terjatuh namun dia terselamat dan berupaya bangun sebelum melarikan diri daripada tanah jerlus berkenaan.

"Beliaulah pemuda di dalam video tu, yang terselamat daripada ditelan tanah jerlus itu," tulisnya lagi sambil menambah, Harizan merupakan warga tempatan berusia 48 tahun.

Sehingga kini, mayat wanita yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, masih belum dijumpai biarpun sudah memasuki hari ketujuh misi pencarian.

Sementara itu Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memohon agar semua pihak memberi ruang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan saudara baharu tersebut.

"Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah SWT serta istiqamah dalam mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain