suria

Esther Ng dipilih Pengerusi ANN

Mahfuz Anam bersama Esther Ng yang dipilih sebagai pengerusi ANN yang baharu.

KETUA Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star (SMG) Datin Paduka Esther Ng dipilih sebagai pengerusi baharu Rangkaian Berita Asia (ANN).

Beliau akan menggantikan pengerusi ANN, Mahfuz Anam, yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Januari tahun depan.

"Saya berhasrat untuk menyampaikan cerita dengan berbeza. Zaman sudah berubah dan kini terdapat cara moden dalam penceritaan.

"Kita perlu tonjolkan Asia di barisan hadapan," katanya menerusi sidang kemuncak ulang tahun ke-25 ANN pada Khamis.

Tambah Ng, isu wanita, perubahan iklim, dan perkara yang melibatkan generasi muda sangat dekat di hatinya.

Ng turut menyampaikan penghargaan kepada Mahfuz atas kepimpinannya dalam ANN pada masa yang sukar.

"Beliau memegang jawatan selama tiga tahun ketika pandemik. Beliau memberi kekuatan buat kami semua.

"Pandemik itu merupakan krisis dan tiba-tiba menyebabkan ANN berada di persimpangan yang mana kami terpaksa mencari dana sendiri pada suatu ketika. Kami melakukan perkara itu dan tugas saya adalah untuk meneruskannya," kata Ng.

Ng dipilih sebulat suara sebagai pengerusi ANN semasa mesyuarat lembaga pada Khamis.

Ini merupakan kali ketiga seorang wanita dilantik sebagai pengerusi ANN.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata pemilihan Ng menandakan peralihan daripada pemimpin berusia kepada individu yang lebih muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Media Star menang besar anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2023

Mengenai ANN, Mahfuz berkata mereka memutuskan untuk melancarkan program Dialog Asia yang menampilkan dialog antara pemikir terkemuka Asia, pemimpin perniagaan dan politik.

"Kami akan membawa suara dari negara-negara kami sendiri untuk berkongsi pandangan mereka kepada seluruh Asia.

"Ia akan melibatkan pemimpin politik dan intelektual serta pemuzik, penulis, dan individu luar biasa lain yang tinggal di negara-negara kami untuk menyuarakan pandangan mereka kepada seluruh Asia," katanya.

Projek lain yang dirancang termasuklah mengenal pasti pembawa perubahan muda di Asia.

Beliau juga menyatakan bahawa ANN mempunyai tugas untuk menampilkan Asia kepada seluruh dunia.

"Kami dikenali kerana pencapaian hebat kami, kebanyakannya melalui media Barat. ANN adalah platform yang menceritakan kisah Asia melalui surat khabar Asia kepada dunia," katanya.

Mahfuz menambah landskap media telah berkembang dengan kebangkitan media sosial dan pelbagai platform digital.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SMG dan Sin Chew Daily kerana menganjurkan acara tersebut.

ANN merupakan platform berita serantau yang berusaha menonjolkan rantau ini melalui perkongsian aktif kandungan editorial.

Pengerusi Bernama dan penasihat Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, turut mengucapkan tahniah kepada Ng atas pelantikannya.

"Ini sangat tepat pada masanya kerana Malaysia akan memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun depan.

"Dengan Ng di pucuk pimpinan, kami berharap beliau akan memberikan suara yang lebih kuat mengenai peranan ASEAN. Media ASEAN membentuk ahli teras ANN," ujarnya yang berbangga kerana seorang wartawan Malaysia akan mengetuai ANN. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain