suria

Sanusi meniti fasa indah bercinta selepas kahwin... Isteri pertama pinangkan ibu tunggal kawan mengaji

Sanusi akui bercinta selepas kahwin lebih indah. -Foto The Star

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan dia sudah berkahwin dua dengan seorang anggota polis.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri berkata isteri keduanya itu dipinang sendiri oleh isteri pertamanya iaitu Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Terang Sanusi lagi, perkahwinannya dengan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak itu berlangsung mengikut proses yang sah.

"Saya nak beritahu saya sudah berkahwin dengan polis, isteri saya pergi meminang berbulan dulu," ujarnya kepada media.

Tambah Sanusi, dia pada mulanya enggan menguar-uarkan tentang perkahwinannya itu kerana risau menjadi bahan sensasi yang tidak sepatutnya.

"Benda perkahwinan macam ni tak patut jadi sensasi, masyarakat sepatutnya dididik. Nak sensasi apa-apa pun mesti kena ada ilmu.

"Saya tak berhasrat nak beritahu sebelum ni sebab nak elak benda sensasi yang tak perlu. Tapi sebab semua asyik kejar, saya pun kesian... jadi hari ni saya beritahu.

"Saya tak ada isu apa, saya pun ada kuota dua lagi," kata Sanusi selepas majlis penyerahan geran hak milik kepada penduduk di Dewan Komuniti Felcra Belimbing,Tualak, Kuala Nerang, Kedah pada Rabu.

Menceritakan serba sedikit perkenalan dengan isteri baharunya, Sanusi berkata ia bermula apabila pasangannya itu terlibat menyiasat kes sebuah kabin kontena kosong yang terbakar dalam kawasan kediaman dipercayai akibat perbuatan khianat.

"Selepas tu dia (isteri kedua) jadi kawan isteri saya dan mereka mengaji di kuliah bersama-sama. Kami tak bercinta, lepas kahwin baru saya bercinta.

"Saya nak beritahu percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin. Saya tak bercinta dan tak ada berjumpa," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain