suria

8 tahun lalu buat video masak atas lantai, Khairul Aming kini semeja dengan PM New Zealand... Siap kongsi masakan air tangan sendiri!

Khairul Aming (kanan) menunjukkan cara menghasilkan roti jala kepada Luxon.

TUAH Creator of The Year TikTok Malaysia 2023, Khairul Aming apabila dia dapat menunjukkan kepakaran memasak sambil disaksikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang berdiri di sebelahnya!

Lebih membanggakan, Khairuk Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, turut berkongsi menu sarapan pagi tradisional Malaysia istimewa air tangannya untuk Luxon pada Selasa.

Antara menu sarapan pagi yang dihasilkan Khairul Aming buat Luxon adalah roti jala.

"Roti jala ni dia makan, Alhamdulillah tak pedas sangat kita buat. Minuman pula kita sediakan teh tarik panas-panas dan berbuih, dan dia pun suka sebab kita buat pun tak manis sangat.

"Pada masa sama, saya ambil peluang untuk memperkenalkan kuih-kuih tradisional yang kita ada kat Malaysia," katanya yang turut menyajikan cendol sebagai manisan.

Selain menikmati teh tarik, Luxon turut diperkenalkan dengan kuih-kuih tradisional Malaysia.

Tercipta sejarah di restoran Hidang KL di Kuala Lumpur, Khairul Aming turut mendapat penghargaan susulan siri video masakan yang dihasilkannya di New Zealand sebelum ini.

"Hari ni Khairulaming dan Perdana Menteri New Zealand berjumpa sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video masak yang kita buat dekat sana.

"Saya mengambil peluang untuk memperkenalkan beliau kepada sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging halal dan tenusu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ibu minta nasihat Khairul Aming, pesan anak muda tamatkan pelajaran dahulu

ARTIKEL BERKAITAN: Khairul Aming pecah rekod! Dendeng ‘sold out’ 3 minit 39 saat, jualan lebih RM1 juta

Menurut Khairul Aming, ini termasuk pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke New Zealand.

Selain menikmati hidangan nasi lemak, Khairul Aming turut memperkenalkan dua produk keluarannya yang merupakan sambal dan dendeng yang dikeluarkan di dua kilang di Kelantan, kepada Luxon.

Khairul Aming (kanan) dan Luxon rancak berbual sambil menjamu nasi lemak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri New Zealand turut memuji Khairul Aming ketika ditanya mengenai hidangan Malaysia yang disajikan buat beliau.

"Kamu adalah legenda. Saya suka catchline (tagline) 'What's Up Guys'. Saya perasan kamu menyebutnya di setiap video kamu.

"Sangat hebat apabila kamu berada di New Zealand dan memasak menggunakan sebahagian produk dari New Zealand," ujar Luxon menerusi rakaman video berdurasi lebih dua minit di laman sosial Khairul Aming, pada petang Selasa.

Mengimbas kembali penglibatannya di media sosial, pempengaruh dan usahawan itu pertama kali melibatkan dalam menghasilkan video masakannya, lapan tahun lalu.

"Lapan tahun lalu, saya merakamkan video masakan pertama saya sambil duduk di atas lantai di rumah sewa. Hari ini, saya mendapat keistimewaan untuk duduk di sebelah Perdana Menteri terkenal dunia.

"Keep hustling, you’ll be amazed at where life can take you," kata Khairul Aming lagi.

Kunjungan Luxon itu merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.

Luxon tiba di Malaysia pada Isnin untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada November lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain