MASALAH berkaitan hidraulik punca pesawat MH66 jenis Airbus 330-300 yang menuju ke Incheon, Korea Selatan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menurut kenyataan Malaysia Airlines (MAS), kesemua penumpang terlibat telah ditempatkan di hotel sementara penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D yang bakal berlepas pada pukul 8 malam, Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Lagi pesawat MAS terpaksa berpatah balik, babit penerbangan ke Seoul “Pesawat daripada Seoul turut dijadualkan semula sebagai MH67D dan dijangka berlepas pada pukul 5.10 pagi waktu tempatan pada 3 September,” katanya. Terdahulu, penjejak penerbangan global, FlightRadar memaklumkan pesawat MH66 dijadualkan berlepas dari KLIA pada pukul 12 tengah malam Ahad, menuju ke Lapangan Terbang Incheon. Bagaimanapun, pesawat itu berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada pukul 1.30 pagi Isnin. Dalam pada itu, Pengarah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) (pengguna dan hal ehwal awam) Pushpalatha Subramaniam berkata, kesemua penumpang terlibat berhak mendapat pampasan. Jelas beliau, ia adalah di bawah pindaan terbaharu kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) Mavcom 2016, yang berkuat kuasa pada 2 September. Untuk rekod, pada 20 Ogos lalu, pesawat MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Alice Springs gara-gara masalah enjin di udara. Sebelum itu, pesawat MAS yang membawa jemaah umrah ke Jeddah pada 4 Ogos juga terpaksa berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal. Pada 24 Jun lalu, turut dilaporkan mengenai sebuah pesawat MAS dalam perjalanan ke Bangkok, Thailand berpatah balik ke KLIA ekoran masalah tekanan. Selain itu, sebuah pesawat MAS juga terpaksa melakukan pendaratan cemas di Hyderabad selepas mengalami kegagalan enjin pada 20 Jun lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube