suria

Tragis! Kereta terbabas langgar pokok libat 4 beranak

Keadaan kereta terlibat kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan.

SEORANG remaja perempuan terkorban manakala ibu bapa dan adik lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebatang pokok dalam kemalangan di Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan berlaku di Jalan Persiaran Seri Impian ketika hujan lebat sekitar pukul 1.40 petang pada Sabtu.

"Keluarga itu sedang dalam perjalanan menuju ke Taman Seri Impian dari Kluang apabila pemandu hilang kawalan ke atas kereta kerana keadaan jalan yang licin susulan hujan lebat.

"Kereta terbabit kemudiannya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok berhampiran pembahagi jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang juga pelajar sekolah menengah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

"Di dalam kereta sama adalah Ibu bapa dan adik lelaki mangsa berusia 8 tahun, mereka turut mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK)," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain