DUA beradik perempuan terkorban apabila kereta dipandu terbakar susulan terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jalan Kepayan, Sabah pada Jumaat. Mangsa yang berusia linkungan 20-an ditemukan dalam keadaan rentung selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda dan bertembung dengan sebuah lagi kereta lain. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 pagi. Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu terlebih dahulu merempuh kereta yang dipandu dua beradik berkenaan. Rempuhan terbabit menyebabkan kereta mereka berpusing dan seterusnya berlanggar ke bahagian kanan sebuah kereta lagi. "Akibat kejadian, kereta jenis Perodua Axia milik dua beradik itu terbabas ke bahu jalan berdekatan jejantas lalu terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Kasim berkata kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia dikeluarkan oleh pasukan bomba di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1. Dalam pada itu, dua lagi pemandu yang masing-masing berumur 22 dan 34 tahun hanya mengalami kecederaan ringan. - THE STAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube