SEORANG pemain badminton profesional didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada Jumaat atas kesalahan memukul seekor anjing di rumahnya, Julai lalu. Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap Samuel Lee, 21, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah. Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama enam bulan. OKS bagaimanapun membayar denda berkenaan. Untuk rekod, Lee didakwa memukul seekor anjing baka Husky menggunakan tangan berkali-kali di balkoni kediamannya di Landmark Residence, Kajang, Selangor, antara pukul 12.09 hingga 12.19 tengah malam pada 1 Julai lalu. Lee didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Menurut fakta kes, tindakan Lee memukul anjing tersebut dirakam oleh jiran dan kemudiannya tular di media sosial. Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran mengetuai pendakwaan, manakala peguam S. Rajashree mewakili Lee. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube