suria

Kemeja-T berlogo PDRM dipakai warga Bangladesh bukan untuk penugasan rasmi, dibuat sekitar 2016

Rakaman tular seorang warga Bangladesh mengenakan kemeja-T PDRM

RAKAMAN video seorang lelaki warga Bangladesh mengenakan kemeja-T berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan netizen.

Susulan itu, pasukan polis mengesahkan bahawa pakaian yang dipakai tidak mempunyai kaitan dengan penugasan rasmi pasukan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 19 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok kira-kira pukul 1.30 tengah hari, Isnin.

Menurutnya, video tersebut memaparkan seorang lelaki warga asing memakai kemeja-T tertera tulisan ‘IPD Barat Daya’ beserta logo PDRM.

“Untuk makluman, kemeja-T tersebut dibuat sekitar tahun 2016. Tujuan penggunaan t-shirt ini adalah untuk aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan sebagainya.

“Sebarang penggunaan kemeja-T berkenaan tidak ada kena-mengena dengan penugasan rasmi PDRM di Barat Daya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Namun begitu katanya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya mengambil maklum isu berkenaan dan orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara terbabit.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain