suria

Tiga doktor antara 33 individu direman, bantu siasatan kartel tipu tuntutan Perkeso

33 individu termasuk tiga doktor dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown untuk direman.

TIGA doktor serta 30 individu lain direman bagi membantu siasatan atas dakwaan terbabit dengan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pada Rabu.

Kesemua mereka yang berumur antara 26 hingga 60 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang pada pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dikawal ketat.

Difahamkan, tiga doktor berkenaan berkhidmat di dua hospital awam dan sebuah hospital swasta, iaitu Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Pakar Bagan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkeso, SPRM sepakat siasat kes tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya

Sumber SPRM dipetik sebagai berkata, hasil siasatan mendapati kartel berkenaan aktif dalam kegiatan itu sejak 2017 sehingga tahun ini dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM2.1 juta.

Tambah sumber berkenaan, pemohon akan menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan manakala baki 50 peratus dibahagikan antara doktor, ejen serta runner.

Penahanan itu dibuat selepas Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, untuk menjelaskan dakwaan penggantungan doktor kanan yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso yang kononnya ada kaitan dengan kartel di negeri tersebut.

Beliau memberitahu Dewan Negara bahawa, difahamkan kartel itu sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.

Beliau dalam masa yang sama memberitahu Dewan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 melibatkan kira-kira RM43 juta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain