suria

Pemandu bas sekolah rakam murid perempuan bikin panas, menteri arah buat laporan polis

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

KECOH di media sosial mengenai tindakan seorang pemandu bas sekolah yang didakwa merakam video kanak-kanak terutama murid perempuan.

Video tersebut mula tular sejak Khamis apabila seorang pengguna laman X menyuarakan kebimbangannya terhadap kandungan yang dimuat naik oleh pemandu bas berkenaan di laman sosial.

Kapsyen yang digunakan pemuda tersebut turut dipersoalkan dan dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

"Kapsyen tidak sesuai. Kamu tidak boleh siarkan (video) anak perempuan seseorang yang masih sekolah rendah dengan kapsyen 'hari ini crush kita buat homework'," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Bas ‘crush’ dengan murid sekolah rendah ditahan

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas sekolah berkenaan yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut.

Nancy turut memberitahu, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan D11 (Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak) IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor.

"Perbuatan tersebut bukan hanya tidak boleh diterima, malah tidak sepatutnya dinormalisasikan.

"Saya telah mengarahkan JPKK untuk membuat laporan polis dengan segera dan kami bersedia bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor,” katanya menerusi hantaran di laman X, pada Khamis malam.

Menurut Nancy, tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Semakan mendapati akaun TikTok pemandu bas berkenaan mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Malah, beberapa video yang merakamkan murid-murid di dalam bas meraih jutaan tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain