suria

Abang Bas ‘crush’ dengan murid sekolah rendah ditahan

Tangkap layar daripada video yang tular di media sosial.

DIKEMASKINI

PEMANDU bas yang tular kerana merakamkan video kanak-kanak terutama murid perempuan di dalam kenderaan itu direman selama lima hari bermula Jumaat sehingga 10 September.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Suhaila Safi'uddin, selepas ia dimohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pada Jumaat.

Ia susulan penahanannya pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara itu, pada Khamis.

"Pasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Simpang Renggam, pada kira-kira 2.57 pagi Jumaat.

"Polis kini menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak di dalam bas yang dipandu oleh seorang lelaki yang dimuat naik di TikTok. Hantaran-hantaran tersebut masih wujud dan boleh diakses," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas sekolah rakam murid perempuan bikin panas, menteri arah buat laporan polis

Kumar berkata, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran bagi siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu bagi maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa-apa cara secara berulang kali atau kerap.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik," ujarnya,

Bagi kedua-dua kesalahan itu, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali

Menurutnya lagi, siasatan sedang dijalankan dan pihak polis meminta kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat di dalam rakaman video agar tampil bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa kemuka pengadilan.

"Orang ramai juga diingatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi tersebut bagi maksud yang menyalahi undang-undang. sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095, hotline ipd kluang 07-7766822 atau talian tablet bilik gerakan IPD Kluang 014-3656822," katanya lagi.

Terdahulu, mStar melaporkan mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kandungan yang dimuat naik pemandu bas berkenaan di laman sosial.

Ini termasuk kapsyen seperti 'hari ini crush kita buat homework' yang digunakan pemandu bas sekolah tersebut, dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas sekolah berkenaan yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut.

"Perbuatan tersebut bukan hanya tidak boleh diterima, malah tidak sepatutnya dinormalisasikan.

"Saya sudah mengarahkan JPKK untuk membuat laporan polis dengan segera dan kami bersedia bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor,” katanya menerusi hantaran di laman X, pada Khamis malam.

Semakan mendapati akaun TikTok pemandu bas berkenaan mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Malah, beberapa video yang merakamkan murid-murid di dalam bas meraih jutaan tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain