suria

Abang bas cium pipi, ‘crush’ budak sekolah mengaku tidak bersalah... Menangis ketika rayuan ikat jamin

'Abang bas' hadapi dua pertuduhan di mahkamah pada Selasa.

PEMANDU bas yang tular kerana merakamkan video kanak-kanak terutama murid perempuan di dalam kenderaan itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berusia 24 tahun itu didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak saudaranya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Bas ‘crush’ dengan murid sekolah rendah ditahan

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan September.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab. Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kes tersebut mendapat perhatian umum yang telah memberi bermacam-macam komen serta gesaan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Tambahnya, salah seorang mangsa juga merupakan anak saudara kepada tertuduh, justeru pihaknya turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak kacau ganggu mangsa dan semua saksi pendakwaan termasuk kakak dan ibunya sendiri.

Pihak pendakwaan turut memohon agar syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai dikenakan.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah serta jumlah jaminan adalah bertujuan bagi memastikan kehadiran dan tidak boleh keterlaluan sehingga membebankan tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.

Terdahulu, tertutuduh dilihat menangis ketika rayuan jaminan dibuat.

mStar sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kandungan yang dimuat naik pemandu bas berkenaan di laman sosial.

Ini termasuk kapsyen seperti 'hari ini crush kita buat homework' yang digunakan pemandu bas sekolah tersebut, dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas sekolah berkenaan yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut.

Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya menahan reman tertuduh dan merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran bagi siasatan.

Semakan mendapati akaun TikTok pemandu bas berkenaan mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Malah, beberapa video yang merakamkan murid-murid di dalam bas meraih jutaan tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain