suria

Cakna rakyat Selangor! Program JER dapat sambutan, Ehsan Mart kini dibuka tawar harga barang asas ‘super’ murah

Amirudin (tengah) dan Mohamad Khairil (dua, kiri) merasmikan pembukaan Ehsan Mart pertama di Sungai Tua, Selayang.

PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri sentiasa komited untuk memacu sektor agrikultur dan agromakanan sejajar dengan perkembangan sosioekonomi rakyat Selangor.

Seiring dengan hasrat itu, PKPS melancarkan pembukaan pasar raya Ehsan Mart yang menawarkan harga barangan asas pada kadar 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding di pasaran.

Objektif utama Ehsan Mart adalah memastikan golongan berpendapatan rendah di Selangor terus mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Amirudin merasai pengalaman sebagai pelanggan pertama di Ehsan Mart.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasar raya Ehsan Mart merupakan kesinambungan daripada Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran PKPS yang dilaksanakan sejak Ogos 2022.

Untuk makluman, JER merupakan jualan enam barangan utama iaitu ayam, telur, daging, beras, ikan dan minyak masak pada harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, ia dijalankan di lokasi terpilih untuk seluruh negeri Selangor pada waktu yang ditetapkan.

Lebih 4,000 lokasi di seluruh Selangor sudah dilawati oleh JER dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta.

“Selepas ini kita akan mengurangkan JER secara perlahan-lahan untuk membuka lebih banyak pusat jualan statik seperti Ehsan Mart yang dapat memudahkan masyarakat mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah.

“Orang ramai tidak perlu lagi berpusu-pusu beratur panjang membeli barangan seperti ketika JER. Kita rancang untuk membuka 56 cawangan Ehsan Mart di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hingga akhir tahun 2026, dengan keutamaan diberikan kepada lokasi berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM),” katanya.

P

Beraneka pilihan barangan di Ehsan Mart dijual pada harga berpatutan.

Amirudin menyempurnakan majlis pelancaran pembukaan Ehsan Mart yang pertama di Sungai Tua dekat Selayang, pada Ahad.

Selain pembukaan di DUN Sungai Tua, kata Amirudin, dua lagi lokasi yang sudah dikenal pasti untuk pasar raya Ehsan Mart pada tahun ini adalah Pandan Indah dan Hulu Kelang.

“Kedua-duanya dijangka mulai beroperasi menjelang Disember nanti,” katanya sambil menambah pembukaan setiap Ehsan Mart membabitkan kos kira-kira RM400,000.

Dalam pada itu beliau memberitahu Ehsan Mart juga akan berfungsi sebagai pusat agihan makanan sekiranya berlaku bencana atau keadaan darurat.

Amirudin ketika berucap pada majlis pembukaan pertama Ehsan Mart.

Tambah Amirudin, selaras dengan usaha memperkukuh keselamatan makanan negeri, kerajaan negeri menerusi PKPS sedang merancang pelaksanaan program stok simpanan makanan (food stockpile).

“Program stockpile ini kita sedang bina gudangnya, lokasi di seluruh negeri Selangor akan diteliti untuk lihat mana yang bersesuaian bagi menempatkan gudang ini.

“Saya jangka ambil masa dua tahun bagi kita melengkapkan pelan, seiring dengan pembukaan kesemua 56 cawangan Ehsan Mart. Apabila siap, ia bakal menjadi satu kitaran yang baik.

“Barangan di dalam stockpile seperti daging dan beras tidak boleh kekal selamanya, ia ada tarikh luput. Sebab itu barangan stockpile kita kena pastikan mengalir, dan Ehsan Mart merupakan salah satu cara untuk kita menggerakkannya. Kita jual barangan stockpile tersebut pada harga yang berpatutan di Ehsan Mart,” jelasnya.

Amirudin berkata, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang baru memulakan program food stockpile ini, sekali gus menjadi perintis.

Produk baharu Ehsan Choc Malt dan Ehsan Drumet turut dilancarkan sempena pembukaan Ehsan Mart.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata antara produk ditawarkan di Ehsan Mart yang dihasilkan sendiri bersama rakan dagang adalah tepung gandum.

“Selain itu, kita juga ada biskut kering, coklat malt, kepak ayam yang kita ternak sendiri. Produk ini semua dijamin halalan toyyiban dan bersih, memandangkan kami sering bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Produk kita yang paling laris sepanjang Jelajah Ehsan Rakyat adalah minyak masak Ehsan, terjual hampir 288,000 paket dan beras Ehsan, terjual hampir satu juta kampit.

“Semua produk ni dihasilkan sendiri oleh kami dan rakan dagang untuk memastikan rantaian bekalan barangan asas yang terjamin.

“Kami turut bekerjasama dengan petani untuk membawa masuk hasil tanaman mereka yang akan dijual di Ehsan Mart,” katanya.

Malah Mohamad Khairil berkata, pihaknya mempunyai hunting team yang sentiasa mencari produk tempatan untuk dipasarkan di Ehsan Mart.

Menurut beliau, Ehsan Mart dikendalikan oleh anak syarikat PKPS iaitu PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd (PEASB).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain